Kisah benar. Kerana tengok video lucah tidak dapat masuk Mekah


Salah satu kisah menarik, yang cukup baik untuk kita ambil iktibar ialah
mengenai seorang jemaah haji (lelaki) yang gagal masuk ke Masjidilharam.
Lelaki ini tidak sama pakej dengan saya (Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din),
jadi saya tidak mengenalinya.

Apa yang berlaku kepada lelaki berkenaan ialah, setiap kali hendak masuk
ke masjid, dia tiba-tiba sahaja menjadi panik seperti orang yang
ketakutan. Kemudian lelaki itu tergopoh-gapah keluar semula dari masjid
dan tergesa-gesa pulang ke rumah tumpangannya. Selepas gagal kali
pertama, lelaki itu cuba sekali lagi tetapi apabila orang-orang di dalam
masjid memandang ke arahnya, dia terus berlari balik ke rumah
tumpangannya semula. Kejadian aneh ini berlaku berulang-ulang kali
selama hampir seminggu sehingga lelaki tadi tidak dapat sembahyang di
dalam Masjidilharam.

Melihat keadaan yang sungguh aneh itu, seorang sahabat datang
memberitahu saya dan minta supaya saya cuba ubati lelaki itu. Saya
bersetuju tetapi tidak terus melakukannya. Sebaliknya saya cuba mendapat
maklumat mengenai lelaki tersebut terlebih dahulu. Saya sengaja berbuat
demikian sebab saya rasa mesti ada sesuatu kesalahan yang telah
dibuatnya hingga menyebabkan dia menjadi sedemikian rupa. Jadi saya
suruh kawan saya selidiki dahulu latar belakang lelaki itu. Kawan saya
pun pergilah berjumpa semula dengan lelaki itu dan minta dia ceritakan
apakah sebenarnya yang telah berlaku. Mulanya lelaki tersebut malu untuk
bercerita, tapi selepas dipujuk akhirnya dia bersetuju. Ceritanya amat
memalukan tapi memberi banyak pengajaran.

Sebenarnya lelaki berkenaan mempunyai hobi yang sangat buruk iaitu
menonton filem lucah. Filem lucah sudah jadi macam makanan hariannya
malah pada malam terakhir hendak bertolak ke Mekah pun dia sempat lagi
menonton filem lucah. Rupa-rupanya, lelaki itu memberitahu bahawa setiap
kali hendak memasuki Masjidilharam, dia tiba-tiba sahaja ternampak
seorang perempuan yang dalam keadaan bogel menerkam ke arahnya atau
seperti mencari-carinya. Maka kerana takut kelakuan perempuan tadi akan
memalukan dirinya, lelaki berkenaan melarikan diri.
Selepas mengetahui kedudukan sebenarnya, barulah saya ubatkan lelaki
tadi. Saya diberitakan selepas itu barulah dia dapat masuk ke masjid.
Itupun cuma sampai ke pintu.

Sumber : Diceritakan oleh Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din

Comments

Popular Posts