Laman web menapis orang hodoh dan singkirkan mereka..

Sebuah laman web yang menjadi tempat pertemuan online popular bagi mencari kekasih bagi golongan ‘lelaki kacak dan wanita jelita’ mencetuskan kontroversi dan dikritik selepas bertindak membuang 30,000 ahli kerana mereka disifatkan sebagai ‘orang hodoh.’

Laman web itu ialah ‘Beautifulpeople.com’ yang mempunyai satu sistem yang memberi kategori kepada ahlinya berdasarkan skala kecantikan.

Mereka yang ditolak itu dipercayai menjadi ahli laman web itu bulan lalu selepas ruang berkenaan diserang virus diberi nama ‘Shrek’, karektor haiwan hodoh.

Virus itu menyerang perisian ‘Beautifulpeople.com’ yang digunakan untuk menapis pemohonnya menyebabkan kemasukan ahli barunya yang kemudian dibuang atas sebab hodoh, lapor The Guardian.

Selepas kembali berfungsi, pemilik web berkenaan menetapkan beberapa ribu ahli terbabit gagal memenuhi standard estetika laman Denmark itu dan mereka digugurkan.

Pengendali halaman web terbabit turut mewujudkan satu talian kaunseling untuk membantu mengurangkan kekecewaan mereka yang ditolak keahliannya.

“Kami perlu kekal dengan prinsip penubuhan kami yang hanya menerima orang cantik, itu adalah apa yang perlu ada pada ahli kami. Kami tidak boleh terus menyimpan 30,000 orang yang hodoh itu,” kata Greg Hodge dari ‘BeautifulPeople.com’ kepada akhbar.

Keputusan menolak keahlian 30,000 orang berkenaan menyebabkan syarikat online terbabit terpaksa memulangkan lebih AS$100,000 (RM300,000). Hodge menghantar e-mel memaklumkannya kepada ahli yang digugurkan.

Hodge berkata, syarikat terbabit menyiasat serangan siber sambil menambah bahawa beliau mengesyaki bekas kakitangannya yang memasukkan virus terbabit.

Penyingkiran ahli yang hodoh itu bukanlah kali pertama laman web itu mencetuskan kontroversi, lapor news.com.au.

Pada Januari lalu, ia meminta 5,000 penggunanya memohon semula selepas mereka menghantar gambar yang menunjukkan keadaan mereka gemuk daripada biasa meraikan musim perayaan.

Comments

Popular Posts