Isteri Cemburu & Timbalan Berpaling Tadah Punca Kematian Osama Laden
Osama bin Laden dikatakan menghabiskan  hari-hari terakhir hidupnya sebagai seorang yang nyanyuk serta berada  dalam keadaan yang bercelaru malah terbunuh kerana dikhianati oleh  isterinya yang cemburu serta timbalan yang berpaling tadah iaitu Ayman  al-Zawahiri.
Maklumat ini didedahkan oleh bekas  jeneral angkatan tentera Pakistan, Brigadier Jeneral Shaukat Qadir yang  telah diberikan akses untuk memasuki rumah persembunyian Osama oleh  ejen-ejen perisikan Pakistan.
Jeneral Shaukat mendedahkan bahawa  beliau telah menghabiskan masa selama lapan bulan untuk menyiasat Osama.  Dan beliau telah diberi akses untuk menemui Osama oleh kerana hubungan  baiknya dengan Panglima Tentera Darat Pakistan, Jeneral Ashfaq Kayani.
Bekas Brigadier Jeneral itu juga  mendedahkan bagaimana pihak berkuasaPakistan menggunakan ejen  perkhidmatan rahsia mereka iaitu Inter-Services Intelligence (ISI) untuk  menyoal siasat isteri-isteri Osama.
Al-Qaeda dikatakan telah membuat  keputusan untuk mengenepikan Osama sejak tahun 2003 lagi setelah  mendapati Osama menjadi semakin nyanyuk iaitu kesan yang dihadapinya  akibat sejenis penyakit pada saraf dalam otak.
Penyakit yang dihadapinya itu juga telah  menjadikannya seorang yang berfantasi dan ini menyebabkan timbalannya  sendiri iaitu Ayman al-Zawahiri merancang untuk menghapuskannya.

Rumah setinggi tiga tingkat yang dikatakan sebagai tempat persembunyian Osama bin Laden di Abbottabad dimusnahkan.
Osama telah terbunuh dalam satu serangan  mengejut oleh komando-komando Amerika dalam satu operasi sulit pada 2  Mei 2011. Serangan itu dilakukan tanpa memaklumkan kepada pihak berkuasa  Pakistan.
Pada 25 Februari lalu, pihak berkuasa  Pakistan telah memutuskan untuk memusnahkan kediaman sulit Osama yang  didiaminya selama lima tahun tanpa disedari oleh masyarakat sekeliling.
Menurut Shaukat, beliau telah  menggunakan rangkaiannya semasa berkhidmat di dalam tentera untuk  menjejaki Osama termasuk memasuki kawasan berbahaya di sempadan  Afghanistan yang tidak dikawal olehundang-undang. Shaukat bersara dari  perkhidmatan tentera pada tahun 1998.
Osama bergerak secara sulit dari  beberapa tempat persembunyiannya di Utara Pakistan sebelum Al-Qaeda  memutuskan pekan Abbottabad di pinggir Rawalpindi sebagai tempat yang  paling sesuai untuk dijadikan rumah persembunyian tetapnya.
Mereka kemudiannya telah membina sebuah banglo dengan pagar dinding yang tinggi untuknya, dua orang isterinya dan anak-anaknya.
Di kediaman baru itu, Osama tinggal di  sebuah bilik besar di tingkat tiga dengan isteri mudanya, Amal  Abdulfattah, seorang warga Yemen yang dikahwininya pada 1999. Bersama  Amal, Osama mempunyai dua orang anak yang dilahirkan di Abbottabad.
Shaukat berkata, selama beberapa tahun,  Osama dan isteri-isterinya itu tinggal sebumbung tanpa sebarang masalah  sehinggalah Mac tahun lalu apabila isteri pertama Osama, Khairia,  seorang warga Arab Saudi tiba di Abbottabad. Osama dan Khairia hidup  terpisah sejak 2001.
Pada masa itu, menurut Shaukat, Khairia  telah melarikan diri dari Afghanistan ke Iran dan tidak mengikuti Osama  dan isteri-isterinya yang lain melarikan diri ke Pakistan.
Shaukat berkata, pihak berkuasa Iran  membebaskan Khairia pada tahun 2010 dan dia hidup bersama puak Al-Qaeda  di Afghanistan sebelum dibawa oleh Al-Qaeda untuk menemui Osama di  Pakistan.

Paparan video yang disiarkan  secara eksklusif oleh ABC News pada 2 Mei 2011 yang menunjukkan bahagian  sebuah bilik di dalam rumah yang dipercayai didiami oleh Osama bin  Laden sebagai tempat persembunyiannya. 
Dan dua bulan selepas kedatangan Khairia  di Abbottabad, komando-komando Amerika menyerbu rumah persembunyian  Osama dan membunuhnya. Shaukat percaya, Khairia lah yang mengkhianati  Osama dengan bantuan orang kepercayaan Osama sendiri yang berpaling  tadah.
“Segala-galanya bermula sebaik sahaja  Khairia tiba dari Afghanistan. Semua orang bermasalah dengan dia.  Sebelum dia tiba, dua lagi isteri Osama hidup bersama tanpa masalah  tetapi berubah apabila dia tinggalbersama mereka,” kata Shaukat.
Salah seorang anak Osama bernama Khalid  (yang dilahirkan oleh seorang lagi isteri Osama dari Saudi) mengesyaki  sesuatu tentang Khairia dan memberi amaran kepada bapanya.
“Dia (Khalid) menyatakan kebimbangannya  tentang keselamatan Osama kepada ayahnya sendiri tetapi Osama hanya  menjawab jadilah apa nak jadi…” kata Shaukat.
Bagaimanapun Osama cuba memujuk  isteri-isterinya yang lain agar melarikan diri demi keselamatan mereka  sendiri tetapi mereka enggan.
Menurut teori konspirasi Shaukat, Al-Qaeda sendiri memperalatkan Khairia sebagai umpan kepada Amerika untuk menjejaki Osama.
Pihak Amerika akhirnya berjaya memintas  panggilan-panggilan telefon Khairia dan menjejaki panggilan itu ke rumah  persembunyian Osama.
Dan mereka akhirnya datang bukan untuk menangkapnya tetapi untuk menghapuskannya.
[sumber:MstarOnline]



Comments