Radhi OAG mengaku kesepian
Sudah setahun Radhi OAG atau nama sebenarnya Muhd. Radhi Razali menjalani kehidupan di rumah Pengasih iaitu sebuah badan profesional merawat penagih dadah. Rutin hidupnya kini berubah total. Ketika bertemu Radhi sejurus tamatnya AJL 26 di Bukit Jalil, lewat malam tadi, Radhi dilihat semakin berisi, semakin sihat dan wajahnya semakin tenang.
“Alhamdullilah, saya selesa berada Pusat Rawatan & Pemulihan Dadah Pengasih sejak setahun yang lalu. Saya tidak berhasrat untuk meninggalkan Pengasih kerana mereka banyak membantu saya pulih daripada dadah. Pada masa yang sama, saya turut melakukan kerja sukarela dengan membantu orang lain berhenti daripada dadah. Kerja sukarela ini secara tak langsung akan mengingatkan diri saya selalu. Selepas ini, insyallah saya akan menggunakan muzik untuk bertemu dengan orang ramai yang pernah terjebak dengan dadah. Saya hendak ubah tanggapan orang, bahawa muzik sebenarnya tidak memerlukan dadah.”
Radhi turut menyatakan penghargaan tidak terhingga kepada individu yang banyak membantu melepaskan dirinya daripada dadah.
“Saya masuk Pengasih pun atas ihsan Datuk Muhd Yunus Pathi. Beliau lah individu yang memberikan kepercayaan kepada saya untuk mengendalikan studio. Jadi, saya banyak menghabiskan masa di sana. Atas sebab itu juga, saya dalam proses merekrut band OAG yang baru. Mereka adalah pelajar daripada Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).”
Bagaimana pula hubungan Radhi dan anak?
“Hubungan saya dan anak pula memang akrab. Bekas isteri pun memang memberikan kelonggaran kepada saya untuk bertemu anak. Syukur, kami masih boleh berkawan walaupun dia sudah berumahtangga. Dan, tinggal lah saya sebatang kara dekat sini,” seloroh Radhi kepada OHBULAN!
Comments