Tanam Implan Untuk Elakkan Remaja Mengandung

LONDON: Gadis seawal usia 13 tahun dilaporkan ditanam implan pencegah hamil di sekolah tanpa pengetahuan ibu bapa mereka di bandar raya ini. Jururawat memasang alat itu pada lengan mereka untuk mencegah kehamilan dalam tempoh sementara dengan mengeluarkan hormon ke dalam darah.

Tahun lalu, 1,700 gadis berusia 13 dan 14 tahun ditanam dengan implan, sementara 800 disuntik dengan kesan sama. Angka Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaa (NHS) 2010 dan 2011 juga menunjukkan bahawa seramai 3,200 gadis berusia 15 tahun dipasang dengan implan manakala 1,700 lagi disuntik.

Namun mengikut peraturan rahsia pesakit, kakitangan dilarang daripada mendapatkan kebenaran ibu bapa sebelum itu atau malah memaklumkan mereka selepas itu.
Bukan semua gadis mendapatkan prosedur di sekolah. Sebahagian mereka mungkin dirawat di klinik perancang keluarga atau pengamal perubatan.

Namun ahli parlimen dan juru kempen berkata, skim itu secara moralnya salah dan melanggar hak ibu bapa melindungi anak mereka.

Kedua-dua bentuk pencegah hamil boleh memberi kesan sampingan tidak menyenangkan termasuk pertambahan berat badan, kemurungan, jerawat dan haid tidak tetap.

Suntikan juga dikaitkan dengan penipisan tulang, walaupun pakar berkata keretakan agak mustahil jika digunakan hanya untuk tempoh pendek.
Implan dan suntikan ditawarkan kepada gadis di sembilan sekolah menengah dan tiga kolej menengah atas di Southampton di bawah satu skim dikendalikan NHS Solent. Klinik kesihatan seksual juga menawarkan bentuk lain pencegah hamil, nasihat dan ujian untuk jangkitan.

Dana amanah memperkenalkan skim itu pada 2009 bagi menangani kadar tinggi kehamilan remaja, yang antara terburuk di negara itu.

Tidak diketahui berapa banyak kawasan lain mengendalikan dasar sama, namun pada 2008, Jabatan Kesihatan menulis kepada 21 pihak berkuasa dengan kadar tinggi kehamilan remaja termasuk Bristol, Manchester, Newcastle upon Tyne, Rotherham, Nottingham dan Peterborough, menggesa mereka meningkatkan pengambilan implan dan suntikan.

Implan berkenaan bertahan selama tiga tahun sebelum perlu diganti.Suntikan berkesan sehingga tiga bulan.

Comments

mra said…
hehe, tu gambar implant lain tu

Popular Posts