Pages

Support Penaja

Sunday, February 12, 2012

Musim sejuk yang teruk melanda eropah

Posted by mykhalis On 11:29 AM 1 comments

ANGKA kematian akibat cuaca sejuk melampau di seluruh Eropah meningkat kepada 540 orang pada musim sejuk mutakhir ini.
Banyak kematian dicatatkan dalam tempoh dua minggu kebelakangan ini dan ia dikaitkan dengan suhu sejuk yang jatuh menjunam sehingga -39.4 darjah Celsius di beberapa negara seperti Ukraine dan Republik Czech.
Ekoran kesejukan melampau, sekurang-kurangnya 135 orang telah mati di Ukraine, Poland (82), Rusia (46), Bulgaria (32), Republik Czech (25), Lithuania (24) dan Serbia (16).
Jurucakap Kementerian Situasi Kecemasan Ukraine, Olena Didyuk berkata, masyarakat gelandangan menjadi golongan yang mencatatkan kematian paling tinggi.
"Cuaca terlampau sejuk, mereka pula tidak mempunyai pakaian dan tempat perlindungan yang baik.
"Kebanyakannya ditemui mati dalam timbunan salji tebal, di sungai yang sudah membeku dan dan di pekarangan rumah," kata Dudyuk.
Bagi pengemis dan gelandangan yang tidak mempunyai tempat tinggal, stesen-stesen keretapi bawah tanah seperti yang terletak di bandar Kiev menjadi tumpuan sepanjang hari kerana mereka ingin memanaskan badan.

Tisu membeku
Selain itu, lebih daripada 3,000 khemah yang dilengkapi sistem pemanas dipasang di seluruh negara itu untuk menampung keperluan golongan tersebut.
Menurut Didyuk lagi, sehingga kini sudah lebih 2,000 orang ditempatkan di beberapa hospital di negara itu untuk diberi rawatan akibat hipotermia (kesejukan) dan frostbite atau reputan fros.

Penyakit berkaitan kesejukan melampau ini mudah terjadi apabila berlakunya pembekuan tisu dalam badan.
Memetik kenyataan penyelidik Patologi di Universiti Perubatan Georgetown, Amerika Syarikat, (AS), Dr. Melissa Conrad Stoppler, tangan dan kaki merupakan anggota badan yang mudah terkena reputan fros.
"Selain itu, bahagian tubuh yang terdedah seperti tetapi hidung, pipi, tulang kering, telinga, dan kornea mata juga berisiko," katanya dalam laman portal kesihatan, www.emedicinehealth.com.
Tambahnya, bahagian badan yang terjejas kerana radang dingin akan memberi rasa terbakar, menyucuk dan kebas.
Lebih buruk, kecuaian dalam menguruskan kecederaan itu boleh menyebabkan kecacatan.
"Reputan fros boleh dikenali melalui sifatnya yang membengkak, kemerahan, rasa nyeri dan kuping putih pada kulit.
"Dalam keadaan ekstrem, tisu yang cedera akan mati dan kulit akan melepuh.
"Dapatkan rawatan segera di hospital atau cari kawasan yang boleh memberi kehangatan untuk mengelakkan reputan fros menjadi lebih teruk.
"Sebaik sahaja anda berada dalam bangunan, cara terbaik untuk memanaskan bahagian reput fros ialah dengan merendam anggota tubuh di dalam tab air sederhana panas 42 darjah Celcius," kata Stoppler.
Selain reputan fros, penurunan suhu badan secara mendadak yang disebabkan kehilangan haba terlalu banyak juga boleh menyebabkan kematian.
Keadaan yang dikenali sebagai hipotermia ini terjadi apabila tubuh sukar mengatasi tekanan yang dihasilkan oleh suhu dingin.

Gejala hipotermia boleh dilihat daripada tubuh yang menggeletar, kulit bertukar kelabu, degupan jantung lemah, tekanan darah menurun dan kekejangan otot.
Menurut portal kesihatan Pusat Perubatan Universiti Maryland, AS, apabila suhu badan menurun mendadak di bawah normal, ia akan melambatkan peredaran darah, pernafasan dan pergerakan sistem saraf.
Hipotermia sering berlaku secara berperingkat-peringkat, ada juga kes yang dilaporkan berlaku dalam masa beberapa minit sahaja.
Contohnya, sekiranya seseorang itu jatuh ke dalam air sejuk, badan akan kehilangan haba lebih cepat.
Hipotermia teruk juga boleh menyebabkan denyutan jantung tidak teratur sehingga membawa kepada kegagalan jantung dan kematian.
Teori Zaman Ais
Sementara itu, saintis mikropalentologis di Balai Cerap Bumi Lamont-Doherty di Columbia University AS, George Kukla berpendapat, keadaan dialami Eropah kini menyamai zaman ais yang direkodkan kira-kira 115,000 tahun lalu.
Dalam temu bual panjang lebar dengan majalah Gelf, Kukla yang juga bekas profesor paleoklimatologi menjelaskan, apa yang berlaku adalah sangat serupa dengan masa tahun 115,000 lalu.
Paleoklimatologi ialah kajian tentang iklim pada masa geologi lampau yang melibatkan pentafsiran tentang mendapan glasier, fosil, data paleogografi, data isotop dan data sedimentologi.
"Apabila glasier bermula ratusan tahun dahulu, percaya atau tidak, glasier terakhir bermula dengan pemanasan global.
"Pemanasan global sentiasa mendahului Zaman Ais. Sejarah yang direkodkan menunjukkan teras ais berulang setiap 100,000 tahun atau lebih.
"Ahli sains terdahulu percaya Zaman Ais akan terbentuk secara perlahan-lahan dan mengambil masa berpuluh ribu tahun.
"Kini sesetengah penyelidik telah mendedahkan bukti mengejutkan bahawa Zaman Ais boleh tercetus dalam tempoh 10 tahun akan datang," katanya yang merupakan pelopor penyelidikan perubahan iklim yang dicetuskan oleh matahari.
Dalam temu bual yang berlangsung pada Mac 2011 itu, Kukla berpendapat, manusia perlu bersedia menghadapi Zaman Ais yang dijangka berlaku dalam masa kurang dari 10 tahun.
"Orbit mengelilingi matahari menjadi daya penggerak utama di sebalik pembentukan glasier pada Zaman Ais.
"Hubungan ini cukup jelas dan konsisten untuk dianggap sebagai sebab paling munasabah jika kita bakal berdepan dengan Zaman Ais," katanya.

Teori penyelidikan itu mungkin ada benarnya. Eropah kini bukan sahaja dicengkam kesejukan melampau tetapi dilitupi ais yang merencatkan pelbagai aktiviti kehidupan manusia.
Cuaca buruk melampau yang berlaku itu turut melumpuhkan sistem penerbangan dan pengangkutan air di timur Eropah
Terbaru, sungai paling sibuk di Eropah iaitu Sungai Danube kini terpaksa ditutup kepada semua pelayaran setelah ia membeku.
Sungai sepanjang 2,860 kilomter (km) yang merentasi 10 negara itu merupakan medium utama kepada pengangkutan air, perikanan dan industri pengairan.
Sebanyak 244 kapal tersadai di pelabuhan sungai yang mengalir ke Laut Hitam itu manakala pasukan penyelamat Ukraine di Croatia menyelamatkan anak kapal yang terperangkap dalam salji sejak Jumaat lalu.

1 comments:

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=0212&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm

ping

There was an error in this gadget

yang best di sini

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...