Saya teraba,,bukan sengaja : Jurulatih Peraba
hiasan |
PETALING JAYA: Tidak puas hati dan mahu tindakan susulan. Berikutan penafian jurulatih pengakap sebuah sekolah menengah di sini mencabul lebih 10 pelajar perempuan di bawah pengawasannya ketika menjalankan latihan fizikal, tiga pelajar tampil sekali lagi membuat laporan polis, semalam.
Jurulatih dikenali sebagai Hoo, 44, Khamis lalu, mengadakan sidang akhbar di Pejabat Biro Pengaduan Awam MCA Selangor menafikan dakwaan dia mencabul selepas pelajar terbabit membuat laporan polis dan kes disiarkan akhbar pada hari sama.
Bagaimanapun, seorang bapa dikenali Leong, 40-an, yang tidak puas hati dengan kenyataan jurulatih itu, menemani anak gadisnya berusia 14 tahun membuat laporan sekali lagi di Balai Polis Bandar Sri Damansara, di sini.
“Saya mahu polis mengambil tindakan terhadap Hoo dan kes ini disiasat seadil-adilnya. Anak perempuan saya mendakwa pernah dicabul enam bulan lalu ketika mengikuti latihan di sekolahnya.
“Namun, dia tidak menceritakan kejadian itu kerana menyangka jurulatih terbabit tidak sengaja. Namun selepas bercerita dengan beberapa rakan lain dan mereka juga mendakwa diperlakukan sedemikian, baru mereka sedar jurulatih itu sengaja melakukannya,” katanya.
Sebelum itu, Leong dilihat masuk ke balai polis berkenaan bersama isteri dan anak perempuannya pada jam 9.30 pagi sebelum keluar semula sejam kemudian.
Leong berkata, sebaik anak perempuannya menceritakan kejadian itu kepadanya, dia dan isteri membawanya membuat laporan pada 8 Februari lalu.
“Saya percaya jurulatih itu sengaja mencabul anak perempuan saya dan pelajar lain. Tiada istilah tidak sengaja apabila perbuatan memalukan itu dilakukan kepada ramai pelajar dan berulang kali.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, pihaknya menerima tiga laporan daripada tiga pelajar di sekitar daerahnya, semalam.
Comments