Kahwin dato' bukan punca anak saya lari:Rozita Che Wan


PETALING JAYA: Pelakon Rozita Che Wan hanya ketawa apabila timbul tuduhan anaknya, Aniq Ezra Azuar Effendy,14, lari dari rumah kerana merajuk selepas dia dikatakan membuat keputusan untuk menjadi isteri kepada seorang bergelar Datuk.

Rozita,39, berkata, dia menganggap gosip terbaru itu sebagai sesuatu perkara lucu yang sering dilaluinya sejak menjadi seorang selebriti.

“Haa... haa... kalau betul saya nak kahwin Datuk, mestilah anak saya suka. Datuk mestilah kaya,” jawab Rozita berseloroh kepada mStar Online ketika dihubungi di sini, Isnin.

Pada 17 Mac lalu Rozita membuat laporan polis selepas anak keduanya itu didapati hilang dari rumah dan ditemui beberapa jam kemudian di rumah rakannya di Subang Jaya dekat sini tidak jauh dari rumah mereka.
Semasa memberi keterangan kepada pihak polis, Aniq Ezra dikatakan merajuk kerana berkecil hati dengan sikap Rozita yang dilihat terlalu melebih-lebihkan abangya iaitu Ammar Effendi yang berusia 15 tahun.
Rozita menambah dia tidak ambil pusing dengan gosip itu kerana tuduhan tersebut dianggapnya sebagai sesuatu perkara yang remeh.

Kata Rozita sebelum ini dia pernah dikaitkan mempunyai hubungan dengan individu dan VIP tertentu tetapi perkara tersebut ternyata tidak benar.

Malah dia juga turut menghadapi tuduhan kerana dikatakan meletakkan bayaran tinggi untuk sesebuah tawaran berlakon selain isu persaraannya dalam dunia seni yang ditarik balik.

“Saya sudah melalui macam-macam kontroversi tetapi itu semua tidak menjejaskan kedudukan saya pun. Sama juga dengan isu terbaru ini (kahwin Datuk),” katanya.

Comments

Popular Posts