Ella bakal bernikah 7 Julai ini
Ratu rock terkenal Malaysia, Ella atau nama sebenarnya
Norzila Aminuddin mengesahkan desas-desus yang mengatakan dia bakal
mengakhiri zaman bujangnya dengan seorang juruterbang pada 7 Julai akan
datang.
"Alhamdulillah, akhirnya apa yang diperkatakan sebelum ini, persoalan
bertahun-tahun yang diajukan kepada saya sudah ada jawapannya.
"Doakan yang terbaik dan semuanya berjalan lancar," jelasnya.
Dipetik daripada laporan Harian Metro, penyanyi berusia 46 tahun ini
memberitahu majlis pernikahan bersama Azhar Ghazali bakal diadakan
secara tertutup di rumah keluarganya di Klang, Selangor. Ia akan
diadakan secara sederhana dan hanya keluarga terdekat kedua belah pihak
serta kenalan rapat sahaja diundang.
Ella turut menjelaskan, pihaknya bukan tidak mahu menjemput ramai orang
sebaliknya menghormati permintaan keluarga yang inginkan kesederhanaan
untuk majlis pernikahan tersebut.
"InsyaAllah, saya akan menjemput lebih ramai tetamu untuk majlis resepsi
yang akan berlangsung pada 1 Disember depan di Pusat Konvensyen
Antarabangsa Putrajaya."
Ella dan Azhar yang merupakan juruterbang syarikat penerbangan Firefly
berusia awal 30-an telah berkenalan sejak Sembilan tahun lalu tetapi
hubungan mereka menjadi lebih serius tiga tahun kebelakangan ini.
Penyanyi yang popular dengan lagu seperti "Layar Impian" dan "Simbiosis"
ini turut menyifatkan bakal suaminya sebagai seorang yang memahami dan
menerima dirinya, lantas merasakan jodohnya sudah tiba.
"Kami sudah berkenalan selama sembilan tahun tetapi kerana kesibukan
karier masing-masing membuatkan kami berhubung secara jarak jauh sahaja.
"Sehinggalah kebelakangan ini hubungan menjadi serius, kami memutuskan
untuk melangkah ke peringkat lebih baik. Lalu pihaknya datang merisik
pada 17 Jun lalu di rumah keluarga saya," ujarnya lagi.
sumber : cinema online
Comments