Misteri Lembaga Wanita Dalam Kereta Wartawan Sinar
KULIM – “Cepat, baca surah Yasin!, ada benda sebelah aku ni,” jerit
seorang rakan yang berada dalam kereta Perodua Kancil Sinar Harian cemas
apabila merasakan ada lembaga wanita duduk di sebelahnya di bahagian
tempat duduk kerusi belakang.
Kejadian itu berlaku Khamis lalu apabila wartawan Sinar Harian
bersama seorang anggota polis berpangkat koperal dan seorang rakan
melalui jalan Bukit Lengkok kira-kira jam 4 pagi, Khamis lalu.
Ketika melalui di satu selekoh dalam keadaan hujan lebat, semua
mereka ternampak batu nisan setinggi setengah meter di tepi jalan tetapi
masing-masing hanya diam dan tidak mengendahkannya.
Keadaan mula cemas apabila rakan mereka itu menjerit meminta membaca surah Yasin dengan segera.
Bagaimanapun, anggota polis cuba menenangkannya dan membaca beberapa
potong ayat al-Quran barulah rakannya itu tenang dan perjalanan pun
diteruskan.
Setelah melepasi jalan Sungai Lengkok mereka kemudiannya berhenti di
tepi Jalan Air Merah dan mula membuka cerita mengenai batu nisan tadi.
Ternyata, mereka semua mengaku ternampak imej batu nisan yang
dimaksudkan.
Bagaimanapun misteri terbabit tidak berhenti di situ saja apabila
kelmarin kira-kira jam 12.30 pagi, seorang rakan wartawan terbabit telah
merakam gambar kereta Kancil berkenaan dan mendapati ada imej lembaga
wanita berambut panjang di dalamnya dan dipercayai lembaga itu hilang
selepas azan Subuh berkumandang.
Sementara itu. seorang pemandu van kilang yang tinggal di Taman
Selasih dan tidak mahu dikenali berkata, kejadian seumpama itu sering
berlaku di Jalan Bukit Lengkok.
Menurutnya, beberapa tahun lalu polis ada menemui mayat
seorang wanita dipercayai dibunuh dan mayatnya dibuang ke dalam gaung
berhampiran.
“Ramai pengguna jalan itu menjadi mangsa gangguan lembaga berkenaan.
Lembaga itu pernah duduk di belakang penunggang motosikal, saya juga
pernah nampak lembaga itu berada di atas bumbung kereta yang datang dari
arah bertentangan.
“Sememangnya jalan itu tidak dilalui oleh kenderaan pada lewat pagi terutama ketika hujan renyai atau lebat,” katanya.
Pengerusi Pertubuhan Prihatin Kebaktian Masyarakat Kulim (PPKM) Khor
Eng Khim juga tidak menafikan kewujudan lembaga itu yang sering
mengganggu pengguna jalan raya yang melalui jalan Bukit Lengkok
menjelang lewat pagi.
“Jalan itu tidak sesuai digunakan pada waktu Subuh terutama ketika
hujan. Ini kerana terlalu banyak kejadian kemalangan berlaku di sekitar
kawasan itu disebabkan keadaan jalan di situ sempit dan
bengkang-bengkok.
“Saya menasihatkan pengguna supaya menggunakan lebuh raya Butterworth
Kulim Express (BKE) untuk pergi ke Pekan Kulim dan jangan mengunakan
jalan Bukit Lengkok sebagai jalan pintas walaupun ia lebih dekat,”
katanya. (Sinar Harian)
Comments