Pelacur Antara Tetamu Ejen AS
WASHINGTON – Seramai 21 wanita,  sebahagiannya pelacur, dibawa masuk bilik hotel penginapan ejen  Perkhidmatan Rahsia Amerika Syarikat dan anggota tentera minggu lalu  dengan setiap seorang diberi AS$60 (RM180), kata seorang senator  Republikan, kelmarin.
“Sebelas 11 ejen sulit terbabit. Seramai  20 atau 21 wanita asing dibawa ke hotel manakala anggota Marin terbabit  dengan selebihnya,” kata Senator Susan Collins dari Maine menerusi  e-mel, selepas diberi taklimat oleh pengarah Perkhidmatan Rahsia, Mark  Sullivan.
Stesen CBS News melaporkan, pasukan  pengawal Presiden Barack Obama sedang berparti di sebuah kelab tarian  bogel ‘The Pley,’ 48 jam sebelum Obama tiba di Colombia.
Sebelas ejen sulit dan 10 anggota  tentera menemui wanita berkenaan dan membayar AS$60 setiap seorang untuk  datang ke hotel Cartagena, tempat penginapan mereka.
NBC News pula melaporkan, dua penyelia  ejen dan tiga anggota pasukan gerak khas adalah antara 11 petugas yang  dituduh terbabit dalam salah laku di Colombia.
Sumber polis tempatan berkata, ejen terbabit membawa masuk pelacur ke bilik hotel mereka sebelum Obama tiba.
“Sullivan wajar berang dengan tindakan  ejen terbabit dan sedang melancarkan siasatan dalaman secara intensif.  Beliau mengarahkan semua ejen terbabit pulang ke Washington dengan  segera dan semua sudah disoal,” kata Collins, anggota Jawatankuasa  Keselamatan Dalam Negeri Senat.
Semakin banyak butir-butir kejadian yang  mencemarkan lawatan Obama ke Sidang Negara Amerika di Cartagena,  disiarkan sejak kelmarin.
Jurucakap Marin, berkata dua petugas  unit anjing yang ditetapkan menyokong pasukan Perkhidmatan Rahsia sedang  disiasat bagi menentukan sama ada mereka terbabit ‘mendapatkan’  pelacur.
Kapten Kevin Schultz berkata, anggota  Marin itu sebahagian daripada ahli pasukan tinjauan dan tidak berhubung  secara langsung dengan Presiden.
Seorang lagi ahli perundangan yang  menyoal Sullivan ialah Peter King dan beliau berkata, penyiasat  Perkhidmatan Rahsia di Colombia sudah menemubual semua wanita yang  terbabit.
“Hingga ini, tiada maklumat ada di kalangan mereka adalah anggota sindiket dadah atau pengganas mahupun jenayah terancang.
“Juga tiada tanda-tanda mereka yang  mencari ejen berkenaan,” katanya, menjawab pertanyaan kemungkinan ejen  dan askar Amerika diperangkap. King berkata, seorang ejen membawa masuk  seorang wanita ke bilik mereka.
“Sebilangan ejen terbabit juga menganggap wanita berkenaan bukan pelacur,” katanya. – Reuters/Agensi



Comments